Abstrak
Isu kenaikan harga harta kediaman
telah menjadi kebimbangan kepada para pembeli dan penyewa rumah terutama bagi
golongan yang berpendapatan sederhana dan rendah. Taman Perumahan Mutiara di
Wilayah Persekutuan Labuan juga turut merasa tempiasnya. Sehubungan dengan itu,
kajian ini membincangkan faktor yang mempengaruhi perubahan nilai harta
kediaman. Skop dalam kajian ini hanya menumpukan kepada faktor permintaan
daripada pembeli atau penyewa dan faktor pembangunan di sekitar kawasan kajian.
Dalam kajian ini, terdapat tiga objektif yang ingin dicapai iaitu melihat trend
nilai pasaran harta kediaman disamping mengenalpasti pembangunan yang ada di
sekitar kawasan kajian dan menganalisis faktor yang mempengaruhi permintaan
penduduk terhadap penawaran perumahan di Taman Mutiara. Bagi membantu mencapai
objektif-objektif tersebut, metod yang digunakan dalam kajian ini adalah
kualitatif dan kuantitatif. Oleh itu, metodologi kajian ini adalah sorotan
literatur, pemerhatian, kajian lapangan, temu bual dan soal selidik. Trend
perubahan nilai kediaman Taman Perumahan Mutiara dianalisis menggunakan
perisian Microsoft Excel 2007. Manakala dapatan daripada soal selidik pula
dianalisis menggunakan kaedah frekuensi dan crosstab melalui perisian
Statistical Package for Social Science (SPSS). Dapatan awal menunjukkan bahawa
trend pasaran harta kediaman di Taman Perumahan Mutiara dipengaruhi oleh faktor
permintaan dan permintaan di sekitar kawasan tersebut. Hakikatnya, nilai
pasaran harta kediaman pada tahun 2008 hingga 2010 menunjukkan peningkatan.
Walaupun harga pasaran harta kediaman semakin meningkat, namun, penduduk masih
bersaing untuk mendapatkan tempat tinggal tetap mahupun sementara. Kesimpulannya, keadaan ini jelas menunjukkan
bahawa permintaan terhadap kediaman dan pembangunan menjadi antara faktor
kepada trend pasaran harta kediaman Taman Perumahan Mutiara.