Wednesday, 14 March 2012

Konsep Globalisasi dan Pembangunan


Apa itu Globalisasi dan Pembangunan?
Menurut Stutz, Frederick dan Waft, Barney (2012), globalisasi ditakrifkan sebagai satu proses yang kompleks di seluruh dunia. Proses ini telah menjadikan ekonomi dunia dan manusia mempunyai sifat kebergantungan antara satu sama lain. Secara amnya, ia merujuk kepada satu perkembangan yang berteraskan kepada skop, skala dan halatuju transaksi antarabangsa yang mana kesemuanya ini dapat diaplikasikan dalam menerangkan corak atau pergerakan modal, manusia, barangan dan pendapat dalam sesebuah wilayah itu dengan wilayah lain serta bergantung dengan sistem kebudayaan, politik dan alam sekitar mereka sendiri. Selain maksud di atas, globalisasi diertikan juga sebagai proses yang melihatkan dunia sebagai satu wilayah yang kecil walhal sebenarnya adalah besar kerana pada masa kini ia dapat mengurangkan penggunaan masa, kos pengangkutan dan dapat menghubungkan antara sesebuah tempat dengan mudah atas bantuan-bantuan teknologi yang semakin canggih. Proses globalisasi yang terganggu akan masalah sosial, politik dan ekonomi akan memberi kesan kepada budaya, ekonomi dan alam sekitar. Secara tidak langsung, masalah dalam amalan pemeliharaan dan pengasingan ekonomi lokal, amalan budaya dan persekitaran setempat akan timbul rententan daripada masalah-masalah yang telah disebutkan sebelum ini. Kini, apa yang dapat dilihat pada mata dunia adalah globalisasi yang berlaku menunjukkan pada kadar tinggi melalui dimensi-dimensi tertentu seperti budaya, telekomunikasi, ekonomi, pelaburan asing, pekerjaan, perkhidmatan dan teknologi maklumat.
Pembangunan pula adalah konsep yang memberikan manfaat yang begitu besar walaupun pada hakikatnya ia mendatangkan kesan buruk ke atas sesebuah kawasan. Tujuan pembangunan dilaksanakan adalah untuk meningkatkan kualiti hidup masyarakat dengan menyediakan peluang pekerjaan yang terjamin, tempat tinggal, perkhidmatan kesihatan dan bekalan sumber makanan yang mencukupi, bekalan air yang bersih serta sistem pengangkutan dan pendidikan yang baik. Sebagai kesimpulan, jelaslah di sini bahawa globalisasi dan pembangunan perlulah berlaku secara seiringan dan tidak mungkin sesuatu itu akan dapat dicapai sekiranya hanya satu sahaja yang bertindak (Stutz et al., 2012).
Terdapat beberapa pendapat lagi yang dapat menerangkan apa itu globalisasi dan pembangunan dengan lebih kukuh. Berdasarkan pendapat Mohd Koharuddin (2005), pembangunan adalah proses perubahan daripada peringkat kurang maju kepada peringkat peringkat yang lebih maju sama ada dari segi pemikiran manusia ataupun fizikal dan persekitaran. Konsep pembangunan di Malaysia meliputi beberapa komponen yang saling bergantungan untuk melengkapi antara satu sama lain dan perlu dicapai tujuannya. Komponen pertama adalah kecekapan bagi memastikan penca
paian pertumbuhan ekonomi yang pesat. Komponen kedua pula ialah pembahagian kekayaan yang bermaksud keserataan pengagihan kekayaan akan dilakukan bertujuan membasmi kemiskinan dan mengurangkan jurang perbezaan pendapatan. Komponen ketiga dalam konsep ini adalah mapan yang mana ia akan menjamin pembangunan dan keempat ialah keupayaan rakyat terutama golongan miskin (Ishak Shari, 2000). Perubahan yang berlaku secara drastik ini adalah merujuk kepada tiga gelombang perubahan iaitu revolusi pertanian, revolusi industri dan revolusi maklumat atau informasi.
Ada sebuah model pembangunan yang telah diperkenalkan oleh Johnson (1982). Melalui kajiannya, beliau telah mengemukakan model pembangunan yang mana negara Jepun telah dijadikan sebagai panduan. Dalam model tersebut, terdapat empat ciri yang dikenalpasti. Ciri pertama, sesebuah pembangunan negara mestilah wujud birokrasi yang memiliki kebolehan dan kepakaran yang baik. Kedua, sesebuah negara perlu memiliki autonomi relatif untuk mengambil inisiatif dan bertindak dengan berkesan serta tidak tunduk kepada tekanan politik atau mana-mana pihak yang berkepentingan. Ciri ketiga model tersebut adalah campur tangan mestilah mematuhi pasaran. Sementara ciri keempatnya, negara mestilah mempunyai agensi khusus yang berperanan dalam memantau perkembangan ekonominya (Johnson C., 1982).
Manakala globalisasi pula mempunyai perbezaan konsep yang berbeza berdasarkan kepada sesuatu bidang yang terdapat di dunia ini. Sebagai contoh adalah globalisasi pengetahuan. Globalisai pengetahuan dijadikan eksperimen pemikiran sebagai pendekatan atau pelaksanaan globalisasi dunia ilmu yang menggunakan beberapa idea yang dijana khususnya daripada bidang pendidikan. Menurut Bank Dunia (1999), globalisasi pengetahuan dijadikan sebagai titik dasar yang memberi idea serta meletakkan pengetahuan pada titik pembangunan bagi semua rantau di dunia yang dapat menjana manfaat yang besar kepada masyarakat yang bebas terutamanya dalam status sosioekonomi. Dari sudut ekonomi, selain memiliki aset, pengetahuan dapat mengembalikan keuntungan. Namun, masih berlaku beberapa halangan dalam sosial dalam mencapai pembangunan globalisasi pengetahuan tersebut (Nico Stehr et al., 2009).
Walaubagaimanapun, pada hari ini, globalisasi semakin menunjukkan perubahan yang mana ia tidak lagi menunjukkan galakkan peralihan barangan secara bebas termasuk idea dan pergerakan manusia. Apa yang berlaku sebaliknya adalah ia lebih menekankan dan meningkatkan kawalan monopoli ke atas sumber, teknologi, pengetahuan dan modal melalui bantuan institusi IMF dan Bank Dunia. Kebergantungan yang wujud dalam globalisasi ini telah menunjukkan peningkatan dalam mengawal sumber produktif dan modal (Amit Sengupta, 2003). Dalam satu persidangan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), yang dipengerusikan oleh Jeffrey Sachs jelas mengatakan bahawa ekonomi adalah sangat penting di dunia. Kesepakatan telah dapat diwujudkan dalam bidang kesihatan iaitu globalisasi perlu dicapai untuk mengurangkan kemiskinan dan meningkatkan kesihatan.
Selain maksud-maksud di atas, menurut pandangan Sity Daud (2004) pula, globalisasi merujuk kepada proses transformasi dunia berikutan daripada pembentukan satu ekonomi global yang berbeza daripada ekonomi dunia. Ekonomi global adalah sebuah ekonomi yang mempunyai keupayaan yang beroperasi sebagai satu set dalam masa sebenar di peringkat dunia. Menurut Ishak (2000), ekonomi dunia masih lagi belum bersifat global kerana ia hanya tertumpu kepada tiga kuasa ekonomi utama iaitu Amerika Utara, Eropah dan Jepun. Kesannya, mereka lebih dominan untuk mempengaruhi dan menguruskan pasaran kewangan dunia dan cenderung kepada ekonomi yang lain. Dalam konteks globalisasi, proses yang berlaku secara drastik dalam menghasilkan produk baru dan canggih, negara tidak relevan dan sudah hilang kemampuan dalam merancang pembangunan. Perubahan dalam membentuk rangka ideologi, struktur sosial dan dasar-dasar ekonomi merupakan pelengkap bagi sesebuah negara dalam menghadapi cabaran dan tuntutan globalisasi. Negara dan pasaran hendaklah saling bergantungan antara sesama sendiri dan tidak boleh beroperasi secara sendirinya (Panitch, 1996).

Rujukan:
Amit Sengupta. 2003. Health in the Age of Globalisation. Social Scientist, Vol. 31, No. 11-
12: 66-85.

Johnson C.. 1982. M.TI and the Miracle. Standford, CA: Standford University Press.
Mohd Koharuddin b. Mohd Balwi. 2005. Pembangunan Luar Bandar di Malaysia: Gerakan
Desa Wawasan (GDW) sebagai Mekanisme Pembangunan Masyarakat Luar Bandar. Jurnal Teknologi, 42(E). UTM: 31-48.

Nico Stehr dan Ulrichufer. 2009. On the Global Distribution dan Dissemination of
Knowledge. ISSJ 195 UNESCO: Blackwell Publishing Ltd.: 7-24.

Sity Daud. 2004. Globalisasi dan Negara Pembangunan. Akademika 64: 27-41.
Stutz, Frederick dan Waft. 2012. The World Economy: Geography, Business, Development
6th. Prentice Hall, Boston, Tokyo: 435.

No comments:

Post a Comment