Thursday 15 March 2012

Ilmu Sabah


Ilmu pengetahuan sangat penting dalam aspek kehidupan. Tanpa ilmu, individu tidak dapat melakukan sesuatu perkara dengan baik. Begitulah juga dalam melaksanakan proses-proses globalisasi. Oleh itu, pembangunan pengetahuan ditekankan seantro dunia bagi meningkat ilmu dan maklumat berlandaskan bidang-bidang yang terdapat di dunia.
            Merujuk kepada syarahan yang disampaikan oleh Prof. Ulung Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin (2012), institusi Universiti Malaysia Sabah (UMS) diberi kepercayaan dalam melaksanakan projek ini dalam mencapai visi dan misi pembangunan negara. Lagipun, hanya di UMS sahaja terdapat Unit Penyelidikan Etnografi dan Pembangunan (UPEP). Secara langsung, Sekolah Sains Sosial (SSS), UMS sungguh berkesan untuk dicontohi dan menjadi penanda aras kepada fakulti dan SSS di seluruh rantau ASEAN kerana dapat mendatangkan kesan yang baik kepada dunia. Oleh itu, UMS telah bekerjasama dalam menjayakan matlamat negara dengan membina sebuah projek membina blog iaitu ilmusabah.com berasaskan tajuk “Sabah, Manusia dan Alamnya”.
            Terdapat empat domain yang telah digariskan oleh UMS dalam membangunkan ilmu dan malkumat dalam tapak permulaan epistemologi yang mana ia dikenali sebagai ‘Tapak Empat Domain’ ala Braudel. Domain-domain tersebut adalah:

1. Domain Kewilayahan Geografis
            Domain ini menekankan aspek lokasi dan ruang fizikal yang dilihat daripada faktor manusia dan alam sekitar. Berlandaskan bidang geografi, UMS dapat mengangkat ilmu dan maklumat adalah melalui pengisian yang dimuatkan dalam blog yang telah dibina oleh pelajar jurusan Geografi khususnya daripada kursus Globalisasi dan Pembangunan. Sebagai permulaan projek ini, setiap pelajar akan mengisi pelbagai informasi mengenai perkara yang berkaitan dengan Latihan Ilmiah masing-masing. Secara tidak langsung, setiap kali blog tersebut dikemaskini, individu bukan sahaja dapat mencari maklumat, malahan mereka berpeluang untuk memberikan idea serta pendapat. Sebagai contoh UMS dikatakan mampu melakukan projek tersebut pada dasarnya kerana merujuk kepada terbitan tahunan Borneo Buletin 2010, di Sabah, terdapat banyak kajian saintifik yang telah dijalankan termasuklah menguji teori Wallace dan Wallace Line.
2. Domain Sistem Masyarakat
            Masyarakat yang wujud dalam AT ini adalah daripada pelbagai latar belakang dan perlu difahami oleh semua individu. UMS dipercayai dapat menjayakan projek ini kerana pelajarnya terdiri daripada pelbagai latar belakang. Majoriti pelajar di UMS terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama. Kepelbagaian ini mempunyai loghat-loghat percakapan yang sama dan hampir sama dengan beberapa masyarakat di negara-negara yang terdapat dalam AT dan hal ini mudah difahami antara satu sama lain. Sebagai contoh, blog yang dibina ini boleh dimuatkan dengan maklumat mengenai etnik dan budaya yang bukan sahaja boleh dilawati oleh golongan masyarakat yang sama, malahan boleh dipelajari oleh masyarakat lain. Kewujudan blog tidak meletakkan syarat hanya untuk masyarakat bandar sahaja, bahkan masyarakat luar bandar juga berpeluang menggunakan blog. UMS diyakini dapat mencapai visi yang telah dibuat berdasarkan kepada pencapaian-pencapaian UMS yang lepas.
3. Domain Sistem Ekonomi
Pengaruh globalisasi telah menjadi cabaran dalam sistem ekonomi. Sabah adalah antara negeri yang mengalami fenomena ‘persistence peasont’ yang mana terlibat dengan ekonomi tunai tetapi ekonominya masih berbentuk sara diri. Tahap pengetahuan mengenai sistem ekonomi yang rendah telah menjadi tarikan kepada UMS untuk melaksanakan kajian dalam ekonomi Sabah atas kerjasama badan-badan IDS dan pihak-pihak lain. Melalui projek blog ini, kajian literatur dibuat agar maklmuat yang diperoleh adalah tepat. Kajian-kajian literatur tersebut kemudian dikumpulkan dalam blog. Secara tidak langsung, UMS dapat memartabatkan ilmu dan maklumat melalui pengisian pelbagai info dari aspek ekonomi dalam blog tersebut dengan berkesan.
4. Domain Sistem Pemikiran
            Menurut sarjana dalam bidang pengajian falsafah dan sejarah intelektual dunia, pembinaan Physic Unity dalam sesebuah peradaban membentuk worldview peradaban. Tiga perkara yang menjadi penilaian dalam perkembangan sistem pemikiran ialah kosmologi dan spiritual, tradisi intelektual dan aturan sosial. Aspek sejarah sistem pemikiran di AT amatlah penting kerana ia merupakan nadi dalam menjelaskan dan memberi pemahaman mengenai past-present-future. Sebagai contoh, di Sabah pengaruh Kesultanan Sulu telah mewujudkan sistem monarki dan masih digunapakai sehingga kini. Oleh itu, projek blog ini sudah semestinya dapat memuatkan maklumat khususnya mengenai perkembangan politik di Sabah.
            Kesimpulannya, usaha pembinaan blog ini digambarkan akan memberi manfaat kepada masyarakat bukan sahaja di Malaysia, malah mampu dikongsi bersama negara-negara lain. Sabah menunjukkan sebuah negeri yang dilihat berpotensi dalam mengorak pembangunan yang lebih besar di peringkat global. Kegunaan internet tanpa sempadan telah membantu individu mengakses blog dengan mudah dan dapat mencapai visi untuk mengangkat ilmu dan maklumat. 

No comments:

Post a Comment